Pengiktirafan untuk Irfan Asryil Haq - 1E3 (2008)
Pada tahun 2008, persatuan ASAS 5O, telah mengadakan sebuah pertandingan menulis cerpen di peringkat nasional. ‘Sayembara Cerpen Peringkat Nasional Menengah’ diadakan dengan tujuan untuk memberi peluang kepada golongan pelajar peringkat menengah, menunjukkan bakat mereka dalam penghasilan cerpen yang menarik dan bermutu.
Irfan Asryil Haq, seorang pelajar dari kelas 1E3, merupakan salah seorang pelajar yang telah menyahut cabaran ini. Beliau telah menulis sebuah cerpen bertajuk ‘Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu’.
Irfan Asryil Haq, seorang pelajar dari kelas 1E3, merupakan salah seorang pelajar yang telah menyahut cabaran ini. Beliau telah menulis sebuah cerpen bertajuk ‘Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu’.
Cerpen tersebut menceritakan kehidupan seorang ibu yang sentiasa berkorban demi kesejahteraan anak-anaknya. Sayang sekali, jasa ibu tidak dihargai. Malah, ibu yang malang itu diabaikan oleh anak-anaknya setelah mereka dewasa dan berkerjaya. Kesedaran menyelubungi hati mereka tatkala si ibu ditimpa kecelakaan akibat dibiarkan hidup sendiri dalam keadaannya yang uzur dan tidak bermaya.
Sukacita diumumkan bahawa hasil karya ciptaan seorang pelajar menengah satu yang mengandungi unsur-unsur pemikiran yang agak matang itu telah berjaya menarik perhatian para pengadil yang merupakan tokoh-tokoh mapan dalam bidang penulisan ini. Antara 130 hasil karya yang telah dihantar oleh para pelajar peringkat menengah di Singapura, cerpen ‘Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu’ dipilih dan digolongkan sebagai 15 hasil karya yang terbaik.
Irfan Asryil Haq dijemput untuk menghadiri upacara penerimaan hadiah di Perpustakaan Bedok, pada hari Sabtu, 18hb Oktober 2008, 8.00 pagi. Beliau bukan sahaja menerima piala dan sijil pengiktirafan, malah, hasil karya beliau telah diterbitkan di dalam sebuah buku antologi cerpen bertajuk ‘Perjalananku’. Buku tersebut kini boleh didapati di perpustakaan sekolah St Patrick.
Kejayaannya yang tidak disangka-sangka ini jelas membuktikan bahawa tiada perkara yang mustahil sekiranya seseorang pelajar itu berani mencuba dan sanggup berusaha. Semoga kejayaannya ini akan menjadi sumber inspirasi kepada semua pelajar untuk memanfaatkan dan menampilkan apa sahaja bakat yang dimiliki. Sekian.
Guru Bahasa Melayu Kelas 1E3,
Cikgu Rosmawati
1 ulasan:
Tahniah Irfan! Moga kejayaan kamu ini akan menjadi batu loncatan dalam memakmurkan bahasa tercinta pada hari-hari mendatang.
Terima kasih juga kepada Cikgu Rosma selaku guru dan pembimbing Irfan. Hidup Bahasa Melayu!
Cikgu Zaza
Catat Ulasan